Akhbar Utusan Borneo - 5 Mac 2023

Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma bernilai RM17 juta siap dan dibuka secara rasmi semalam (Link)
Fadillah melancarkan kod DuitNow QR Bank Islam sambil disaksikan oleh Dr Abdul Rahmann, Misnu dan tetamu kehormat lain


KUCHING: Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma yang siap dibina dengan kos sebanyak RM17 juta secara rasminya dibuka semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof  berkata, ia merupakan perpindahan daripada masjid lama kepada masjid baharu.

Ini kerana katanya, masjid yang lama tidak mampu menampung peningkatan jumlah jemaah di kawasan berkenaan.

“Syukur akhirnya masjid baharu ini dibina dan mampu memuatkan seramai 3,000 jemaah dalam satu-satu masa. 

“Hanya tinggal sistem bunyi sahaja yang belum selesai sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perpindahan masjid baharu bagi Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma Mohamad Ibrahim Nordin.

Fadillah berkata, projek pembinaan masjid baharu itu sudah bermula tahun 2019, namun tergendala disebabkan isu tanah dan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada kerajaan dan juga orang ramai kerana menjayakan pembinaan masjid yang dianggap sebagai salah satu masjid tercantik di bandar raya ini.

“Kita telah mendapat dana sebanyak RM8 juta daripada kerajaan negeri dan RM5 juta daripada kerajaan persekutuan.

“Manakala baki RM4 juta adalah hasil sumbangan derma dan wakaf daripada orang ramai,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Terdahulu, Fadillah berkesempatan menunaikan solat berjemaah Maghrib dan Isya di masjid baharu berkenaan dengan penduduk setempat.

Majlis itu kemudiannya  menyaksikan pelancaran E-Banking Kod QR Bank Islam untuk menderma dan E-Digital pemasangan Wifi oleh Telekom Malaysia di masjid tersebut.

 

 oleh : Marlinda Mardzuki

Catat Ulasan

Mohon komen atau teguran yang positif dan membina

Terbaru Lebih lama