Akhbar Utusan Borneo - 11 Mac 2023

Masjid Ikhwanul Islam dibuka secara rasmi kepada orang ramai
Fadillah memukul beduk sebagai gimik melancarkan pembukaan Masjid Ikhwanul Islam di Taman Sukma, malam Jumaat. - Gambar Nur Shazreena Ali

KUCHING: Diilhamkan daripada kubah Masjid Nabawi di Madinah, Masjid Ikhwanul Islam yang baru dilancarkan di Taman Sukma di sini kini dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, masjid baharu itu mampu menempatkan 3,000 jemaah pada satu-satu masa.
“Masjid ini dibina bagi menggantikan masjid lama yang hanya mampu memuatkan 800 jemaah.

“Alhamdulillah, dengan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM8 juta, RM5 juta daripada kerajaan pusat serta sumbangan wakaf, korporat dan orang ramai, kita dapat berada di sini hari ini di masjid baharu ini.

“Walaupun ia sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan selepas ia mula dibina pada 2019, pembinaannya tertangguh akibat pandemik COVID-19,” katanya pada majlis perasmian masjid itu Taman Sukma di sini, malam Jumaat.

Sambil menyifatkan masjid itu mempunyai hiasan dalaman kontemporari yang dilengkapi kemudahan moden, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, masjid itu juga dibina dengan menara setinggi 99 kaki.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Islam berhampiran sentiasa menganjurkan aktiviti keagamaan selain solat berjemaah.

“Masjid sudah dibina, cabarannya sekarang bagaimana kita mahu terus memakmurkan masjid, mengekalkan jumlah jemaah di masjid.

“Kalau nampak masjid ini dibina berkonsepkan 'nur' iaitu cahaya.
Pada waktu siang, anda boleh melihat cahaya matahari masuk melalui tingkap. Jadi, saya harap masjid ini menjadi cahaya untuk umat Islam di sini,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai rancangan untuk membangunkan semula bangunan lama (masjid), Fadillah berkata beliau secara peribadi mahu ia dibangunkan semula sebagai salah satu pusat pengajian Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata ini tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.

“Jika diluluskan, kita akan robohkan, bina semula dan jadikan pusat pengajian Islam yang merangkumi madrasah, penginapan imam, ustaz dan penceramah jemputan serta menjadikannya tempat menimba ilmu.

“Selain aktiviti keagamaan, kita juga boleh menjadikannya sebagai tempat untuk menjalin dan memupuk hubungan baik sesama saudara Islam dari dalam dan luar negara.

“Secara keseluruhannya, saya mahu ia (masjid lama) menjadi pusat ilmu dan kefahaman Islam,” katanya kepada pemberita.

Pada 4 Mac lalu, masjid baharu itu dibuka buat julung kalinya kepada jemaah untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama Fadillah dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha.

Catat Ulasan

Mohon komen atau teguran yang positif dan membina

Terbaru Lebih lama