Notis: Sila lengkapkan Borang PENYERTAAN IBADAH QURBAN 2024 - yang akan diadakan pada 18 Jun 2024.

Akhbar TVS - 11 Mac 2023

 TPM Fadillah rasmi Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma

By Muqri Aziz#bm Berita SarawakMarch 11, 2023  

KUCHING, 10 Mac: Tersergam indah dengan kubahnya seperti kubah Masjid Nabawi, Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma (MIITS) di sini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof  pada Jumaat.

Menurutnya, masjid yang bernilai RM17 juta itu mampu menampung seramai 3,000 jemaah pada satu-satu masa dibangunkan bagi menggantikan masjid yang lama iaitu hanya dapat menampung 800 jemaah.

“Alhamdulillah, pembinaan masjid baharu ini berjaya dilaksanakan dengan sumbangan dana Kerajaan Sarawak sebanyak RM8 juta manakala sumbangan dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM5 juta dan selebihnya adalah daripada wakaf serta sumbangan korporat dan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata  demikian pada Majlis Perasmian Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma, semalam.

Ahli Parlimen Petrajaya itu turut memberitahu pembinaan masjid baharu tersebut sepatutnya disiapkan pada tahun 2021.

“Projek pembinaan bangunan masjid baharu ini sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan selepas ia mula dibina pada tahun 2019 tetapi tertangguh akibat penularan pandemik wabak COVID-19,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Fadillah yang disoal pemberita berhubung status masjid yang lama, beliau menyatakan keputusan berkaitan tertakluk kepada Kerajaan Sarawak sama ada membangunkan semula sebagai Pusat Pengajian Islam di Sarawak atau sebaliknya.

“Tertakluk kepada kelulusan daripada kerajaan negeri jika mahu roboh dan bina semula dan menjadikan ia sebagai Pusat Pengajian Islam yang merangkumi Madrasah, tempat penginapan buat Imam, Ustaz dan penceramah jemputan serta menjadikan itu sebagai tempat untuk menimba ilmu.”

“Selain daripada aktiviti keagamaan, kita juga boleh berhubung dengan jaringan-jaringan daripada dalam dan luar negara khususnya Indonesia yang mahukan menjalinkan hubungan bersama. Saya mahu ia dijadikan sebagai pusat ilmu dan kefahaman Islam,” jelasnya.

Terdahulu, masjid baharu tersebut telah dibuka buat pertama kalinya kepada jemaah untuk menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak bersama Fadillah dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, pada 4 Mac lalu.

Uniknya masjid ini adalah ia menggunakan konsep pencahayaan semula jadi dengan mempunyai menara berukuran 99 kaki selain  kubah menyerupai Kubah Masjid Nabawi, hiasan dalaman yang kontemporari dan dilengkapi dengan fasiliti moden.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penanung MIITS Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Imam Besar Sarawak Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Khalidi Ibrahim dan Pengurusan MIITS Mohamad Ibrahim Nordin. – TVS

Catat Ulasan

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Terbaru Lebih lama