KUCHING: Masjid Ikhwanul Islam di Taman Sukma di sini telah dipindahkan ke bangunan baharu dan mula dibuka untuk kegunaan orang ramai, semalam (4 Mac).
Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembinaan bangunan baharu masjid itu menelan kos sebanyak RM17 juta yang mana RM8 juta daripada Kerajaan Sarawak, RM5 juta Kerajaan Persekutuan dan RM4 juta hasil sumbangan derma dan wakaf orang ramai.
“Projek ini juga sudah mula dilaksanakan sejak 2019 tetapi tertangguh kerana terdapat isu seperti pandemik Covid-19 dan sebagainya.
“Bagaimanapun, kita bersyukur kerana ia telah siap tahun ini dan sekarang hanya tinggal sistem bunyi sahaja yang belum selesai sepenuhnya,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perpindahan Masjid Baharu di Masjid Ikhwanul Islam, dekat sini, malam tadi.
Tambahnya, masjid tersebut juga dapat memuatkan sehingga 3,000 jemaah di dalam satu masa.
“Bangunan baharu ini juga memang sangat diperlukan oleh penduduk di sini kerana masjid lama tidak mampu menampung jumlah jemaah yang begitu ramai,” ujarnya
Link: Sarawak Voice