Berdasarkan hadis Rasulullah, terdapat sekurang-kurangnya empat pemimpin yang mesti dijauhi iaitu:
1. Pemimpin yang suka berbohong dan gemar menaburkan janji-janji palsu mestilah dijauhi. Dalam hadis Rasulullah mengecam pemimpin yang menipu rakyatnya. Sabda Rasulullah:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلَّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
“Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.” (HR al-Bukhari)
2. Pemimpin yang makan rasuah mesti ditolak. Rasulullah melaknat pemimpin yang memakan rasuah. Dosa mengambil rasuah dikategorikan sebagai dosa besar lalu bagaimana boleh kita memilih pemimpin yang jelas melakukan dosa besar. Sabda Rasulullah:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah” (HR Abu Daud)
3. Pemimpin yang berfikiran liberal yang mempertikaikan syariat Islam mestilah ditolak. Dalam hadis, Rasulullah membayangkan mengenai kemunculan kepimpinan yang menolak sunnah Rasulullah. Sabda Rasulullah:
وَمَا إِمَارَةُ السُّفَهَاءِ؟، قَالَ: "أُمَرَاءُ يَكُونُونَ بَعْدِي، لَا يَقْتَدُونَ بِهَدْيِي، وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي
“(Ka’b bertanya): Wahai Rasulullah, apakah itu kepemimpinan orang yang bodoh? Rasulullah menjelaskan: (iaitu) Para pemimpin yang muncul selepas dariku, tetapi mereka tidak menggunakan petunjukku, dan mereka tidak mengamalkan sunnahku.” (HR Ahmad)
4. Pemimpin yang menyusahkan urusan rakyat mestilah dijauhi. Rasulullah pernah mendoakan ancaman buat pemimpin yang menyusahkan rakyat. Sabda Rasulullah:
اللهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ، فَاشْقُقْ عَلَيْهِ
Wahai Tuhanku, barangsiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku ini lalu dia menyusahkan urusan umatku, maka susahkanlah (urusan) mereka.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Tags
Komentar