Perginya Ustaz Haji Ibrahim Hailee


Mengejutkan dan menyedihkan sebaik menerima berita Ustaz Ibrahim Hailee terkorban dalam kemalangan jalanraya pada 1 Ogos 2013, Ramadan yang ke 21 hari.

Arwah adalah penceramah tetap di Masjid Sukma pada hari rabu Malam Khamis. Arwah menyampaikan kupasan KITAB AS-SYAMAIL MUHAMMAD.

Marilah kita doakan agar beliau ditempatkan bersama-sama orang yang mulia lagi soleh. Amin

 “Mereka yang meninggal pada bulan Ramadan apalagi ketika beribadah adalah sangat mulia di sisi Allah dan tergolong dalam pengakhiran yang baik (khusnul khatimah),” kata Datuk Mohd Zawawi Yusoh.

Pada 2 Ogos 2013, Masjid Sukma memulakan kutipan derma untuk arwah dan 3 rakan lain. 

Nota:
 =============================
Harian Metro - 2/8/13
SRI AMAN: Empat kakitangan termasuk seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki enam penumpang itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 48, Jalan Sri Aman-Sarikei di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mereka terbunuh adalah Penolong Pengarah JAKIM negeri, Ibrahim Hailee, 35, yang memandu Toyota Innova, terbunuh di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Turut terbunuh di tempat kejadian adalah Pembantu Hal Ehwal Islam, Harliani Hanani, 29; Halimah Hamrie, 30 dan Qurratu Aini Rolfandy, 23.

Seorang penumpang yang juga Pembantu Hal Ehwal Islam, Mohd Firdaus Ahmat, 23, dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sri Aman, manakala Fakih Ikhwan berusia 20-an, kritikal sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohammad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu Bangai Asong, 44, terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung kenderaan dinaiki enam kakitangan JAKIM terbabit.

Katanya, kejadian berlaku di selekoh berdekatan Memaloi, apabila lori balak dari arah Sarikei menuju ke Sri Aman hilang kawalan lalu bertembung MPV dinaiki kakitangan terbabit.

"Pertembungan Toyota Inova berkenaan tersadai di bahu jalan dengan Ibrahim tersepit di tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

"Susulan kemalangan itu, pemandu lori dipercayai melarikan diri dan polis sedang memburunya untuk siasatan lanjut. Pada masa sama, polis meminta saksi kejadian atau sesiapa mempunyai maklumat mengenai pemandu lori berkenaan diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya



======================
Perbualan akhir dengan ayah

Sibu: Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Ibrahim Hailee, 35, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sri Aman-Sarikei, kelmarin, sempat menghubungi bapanya pada malam sebelum kejadian.
Dalam perbualan singkat itu, Allahyarham berpesan kepada bapanya supaya beritahu ibunya jangan bersusah payah membuat kuih untuk Aidilfitri tahun ini.

Hailee Likun, 80, berkata, dia tidak menyangka perbualan itu yang terakhir dengan anak keempat daripada enam beradik itu.

“Minggu lalu, arwah pulang dan kelihatan ceria. Malam kelmarin (Rabu) dia menghubungi saya menyuruh memberitahu ibunya tidak perlu buat kuih kerana dia akan menyediakannya,” katanya di Surau Darul Saadah, Jalan Pa Deris, Kampung Hilir, di sini, semalam.

Sementara itu, rakan sepengajiannya di Jordan Syed Abdul Aziz Wan Hamid, berkata mereka merancang mengendalikan kursus haji perdana untuk bakal jemaah haji di kawasan Kuching dan Samarahan pada 24 dan 25 Ogos ini.

“Allahyarham sudah membuat persiapan rapi kerana dia dilantik sebagai fasilitator kursus itu. Saya terkilan kerana tidak sempat menunaikan hajatnya membimbing bakal jemaah haji.

“Kami menuntut di universiti berlainan di Jordan, tetapi setiap kali cuti kami akan berkumpul dan dia mahir memasak akan menyediakan juadah untuk semua rakan-rakan di sana,” katanya ketika mengiringi jenazah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Lama, selepas solat Jumaat.

Dalam pada itu di Sarikei, bapa kepada Qurattu Aini Rolfandy, 23, yang turut terbunuh dalam kemalangan itu, Rolfandy Awi, 48, berkata, dia sempat berbuka puasa bersama anak sulungnya empat hari sebelum kejadian.

“Dalam perjumpaan terakhir itu, Qurratu ceria, tiada perubahan ditunjukkan,” katanya sebelum jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sarikei, pada jam 10 pagi semalam

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini semalam apabila anak Halimah Hamrie, 30, memanggil-manggil dan mencari ibunya itu ketika jenazah mahu dikebumikan.

Kanak-kanak itu, Awang Akif Hadwan Awang Syukri, 3, sambil menangis bertanya; "Mana mak?" berulang kali sebelum kanak-kanak itu terpaksa ditenteramkan oleh ibu saudaranya, Fatimah Hamrie, 28.

Selain Awang Akif, Halimah turut meninggalkan anak perempuan, Dayang Auni Hanan, lima bulan. Halimah merupakan empat kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak yang terbunuh selepas kenderaan Toyota Innova yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak ketika dalam perjalanan menghadiri program berbuka puasa di Betong, 238 kilometer dari Kuching kelmarin.


Catat Ulasan

Mohon komen atau teguran yang positif dan membina

Terbaru Lebih lama